Sunday, February 1, 2009

Mimpi??

Eynda copy & paste dari http://rampaiseri.wordpress.com  sebagai bahan rujukan diri sendiri coz baru alaminyer malam semalam :-(
Soal Jawab Agama bersama Dr. Amran Kasimin
Institut Alam Dan Tamadun Islam
SOALAN: Saya baru berpindah rumah. Awal tahun ini, saya sering ditindih ketika tidur dan mengalami mimpi-mimpi yang menakutkan. Mula-mula ditindih sekejap, tetapi lama-kelamaan menjadi serius, tidak boleh bergerak atau meminta tolong kecuali setelah saya membaca ayat-ayat al-Quran.
Sebelum tidur saya baca al-Fatihah, ayat al-Kursi dan surah al-Ikhlas, tetapi keadaan menjadi lebih teruk. Kadang-kadang saya ternampak lembaga seperti lelaki hitam berbadan besar menindih. Ini kerap berlaku ketika suami tidak ada di rumah kerana bertugas beberapa minggu di luar daerah.
Rumah saya pernah dipagar dengan cara menanam sepotong kayu sejengkal panjangnya untuk melindungi rumah saya daripada gangguan manusia jahat dan juga syaitan. Bagaimana saya boleh mengatasi masalah ini?
- ANITA AZIZ, Selangor.
JAWAPAN: Mungkin apa yang puan alami adalah kesan psikologi semata-mata akibat stress. Setiap masalah hidup yang menimpa boleh mengakibatkan gangguan fungsi organ tubuh. Reaksi tubuh ini dinamakan stress manakala depress adalah reaksi kejiwaan seseorang terhadap stress yang dialami. Reaksi kejiwaan lain yang mempunyai hubungan dengan stress ialah kecemasan (anxiety).
Lumrahnya cara gangguan stress berlaku tidak jelas dan sering tidak disedari. Walaupun demikian, pada peringkat teruk ia boleh melahirkan rasa takut dan panik yang tidak jelas puncanya, malah ia boleh menyebabkan gangguan sistem pencernaan, mengalami masalah tidur dan berlakunya mimpi-mimpi ngeri sama ada pada mula-mula terlena ataupun ketika sedang nyenyak tidur.
Allah s.w.t. menjadikan manusia itu terdiri daripada tiga unsur utama, iaitu jasad, roh dan akal. Biarpun depress sering dikaitkan dengan reaksi kejiwaan seseorang akibat stress yang dialami, apabila berlaku simptom-simptom stress seperti rasa takut, gangguan tidur dan sebagainya, ia tidak mempunyai simptom-simptom lain seperti debaran jantung yang keras, sesak nafas, dingin, gementar dan tidak mengalami gangguan sistem pencernaan.
Apabila ada punca lain yang perlu dicari dan dianalisis, lebih-lebih lagi apabila masalah berlaku ketika tidur, rasa ditindih menyebabkan seseorang tidak bernafas, tidak boleh menjerit ataupun bersuara.
Pada ketika tertentu, seseorang itu melihat lembaga hitam seperti yang puan alami.
Pengalaman yang puan alami andainya ia berlaku, ia terjadi hanya sekali. Ia mungkin berlaku akibat kesan psikologi, dan apa yang dilihat hanya ilusi semata-mata. Walaupun demikian, apabila ia berlaku berulang kali, ada kemungkinan ia berlaku akibat daripada gangguan iblis dan syaitan.
Ketika tidur, jasad manusia berada di pembaringan. Akal manusia tetap wujud, tetapi tidak aktif, berfungsi atau mempunyai ikhtiar seperti ketika manusia dalam keadaan berjaga.
Ketika inilah makhluk yang asal kejadiannya daripada api menyerang manusia, iaitu menyerang roh tadi menyebabkan berlakunya gangguan-gangguan seperti mimpi-mimpi yang menakutkan.
Ilusi semata-mata sukar untuk dikaitkan dengan gangguan organ tubuh yang boleh menyebabkan seseorang itu terasa terhimpit atau tertindih, sukar bernafas, tidak boleh bergerak ataupun bersuara, tetapi boleh terjaga apabila dia berupaya membaca ayat al-Quran.
Menurut Abu Said al-Khudri r.a. dia pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Apabila salah seorang daripada kamu bermimpi dengan mimpi yang menyenangkan, maka itu adalah daripada Allah taala. Dia hendaklah memuji Allah kerananya dan boleh dia ceritakan mimpinya itu.
Menurut satu riwayat lain, jangan dia ceritakan akan mimpi itu kecuali kepada orang yang dia sukai. Dan apabila dia bermimpi sesuatu yang tidak disukai (buruk), itu adalah daripada syaitan, maka dia hendaklah berlindung daripada kejahatannya dan jangan dia ceritakan kepada seseorang kerana mimpi itu tidak memberi mudarat.
Mimpi ada tiga jenis, iaitu mimpi yang benar (wahyu) seperti mimpi yang berlaku kepada Nabi Ibrahim di mana Allah memerintahkannya agar menyembelih anaknya Ismail atau mimpi yang berlaku ke atas Rasulullah s.a.w. Jenis kedua ialah mimpi yang didatangkan oleh syaitan, dan jenis ketiga ialah mimpi mainan tidur.
Mimpi jenis kedua berlaku sama ada ketika seseorang itu hampir terlena seperti bermimpi diterkam oleh binatang buas, dilanggar kenderaan menyebabkan darah kelihatan bertaburan dan sebagainya, ataupun berlaku ketika sedang tidur di mana seseorang itu melihat makhluk-makhluk yang menakutkan, binatang buas seperti ular dan harimau.
Pada kebiasaannya objek yang dilihat berupa hitam kerana hitam itu menakutkan, ataupun bermimpi berjumpa orang yang telah mati, melihat kubur, bermimpi jatuh dari tempat tinggi dan sebagainya.
Rasulullah s.a.w. berdasarkan sebuah hadis daripada Amr bin Syuaib daripada datuknya menyatakan sesungguhnya Rasulullah s.a.w. mengajar para sahabat ketika terkejut daripada tidur membaca kalimah-kalimah berikut (bermaksud): Aku berlindung dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna daripada kemurkaan-Nya, daripada kejahatan hamba-hamba-Nya, daripada tipu daya syaitan dan daripada kedatangan mereka.
Rasulullah s.a.w. juga mengajar doa berikut untuk tujuan yang sama (bermaksud): Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada syaitan dan daripada keburukan mimpi.
Setelah membaca doa di atas, orang yang terlibat hendaklah mengubah posisi tidurnya. Kalau semasa bermimpi dia tidur mengiring sebelah kiri, dia hendaklah mengiring sebelah kanan, begitulah sebaliknya. Adalah lebih mudah andainya dia beralih tempat tidur. Demikianlah kaedah yang diajar oleh Rasulullah s.a.w.
Sebuah hadis daripada Jabir, katanya Rasulullah s.a.w. ada bersabda: Apabila seseorang daripada kamu bermimpi dengan mimpi yang tidak disukai, dia hendaklah meludah ke sebelah kiri tiga kali, kemudian berlindung kepada Allah daripada syaitan tiga kali, dan ia hendaklah menukar posisi tidurnya.
Berdasarkan hadis ini, sebelum mengubah posisi tidur, seseorang itu hendaklah meludah ke sebelah kiri tiga kali, kemudian berlindung kepada Allah tiga kali dan akhir sekali baru ubah posisi tidur. Yang dimaksudkan dengan ludah di sini ialah memadai hanya dengan mengeluarkan angin daripada mulut dalam keadaan seolah-olah meludah, tidak mengapa kalau terkeluar sedikit air ludahnya.
Andainya doa-doa yang dibaca dan petua-petua yang dijelaskan ini tidak mendatangkan hasil dan gangguan tetap datang, seseorang itu hendaklah bangun berwuduk kemudian sembahyang tahajud yang diikuti dengan sembahyang hajat. Mohon kepada Allah agar dilindungi daripada gangguan sama ada manusia, iblis dan syaitan atau kedua-duanya sekali.
Dalam usaha mengatasi gangguan tidur, sebelum tidur seseorang itu hendaklah berwuduk kemudian baru baring dan membaca Allahuakbar, Subhanallah dan alhamdulillah sebanyak 33 kali setiap satu. Demikianlah ajaran Rasulullah s.a.w. kepada Fatimah r.a. seperti yang terkandung dalam sebuah hadis daripada Ali.
Dalam sebuah hadis lain, daripada Sayyidatina Aishah dinyatakan bahawa Nabi s.a.w. ketika baring di tempat tidurnya setiap malam, baginda merapatkan kedua telapak tangannya kemudian meniupnya dengan mulutnya lalu membaca padanya Qulhuallahu ahad, Qul audhu bi rabbilfalaq dan Qul audhu bi rabbinas. Kemudian baginda menyapu kedua telapak tangannya itu ke seluruh badan seberapa boleh yang dimulakan daripada bahagian kepala, muka dan bahagian badan. Baginda melakukan demikian sebanyak tiga kali.
Amalan Rasulullah s.a.w. itu perlu dijadikan contoh ikutan oleh umatnya terutama mereka yang mempunyai masalah gangguan tidur.
Pada mereka yang bermasalah besar ketika tidur, seseorang itu perlu membaca ayat al-Kursi setelah melakukan kaedah yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. Baca ayat ini seberapa banyak yang boleh dan akhir sekali barulah serah diri kepada Allah s.w.t. sekurang-kurangnya menyebut doa (bermakna): Dengan menyebut nama-Mu ya Allah, ku hidup dan aku mati.
Dalam sebuah hadis daripada Qatadah dia berkata: Barang siapa membaca ayat al-Kursi ketika baring di tempat tidurnya, Allah akan mengutus kepadanya dua malaikat memeliharanya sehingga subuh.
Dalam sebuah hadis lain, daripada Ibn Masud, ia berkata, seorang lelaki telah berkata kepada baginda: Ya Rasulullah, ajarkan daku sesuatu yang dengannya Allah memberi manfaat akan daku. Baginda menjawab: Baca ayat al-Kursi, maka sesungguhnya ia memelihara akan dikau, juga keluargamu, memelihara rumahmu, juga rumah-rumah di sekeliling rumahmu.
Sesetengah orang dalam keadaan tertentu tidak mengalami masalah tidur sekiranya dia tidak membaca doa-doa sebelum tidur, tetapi bermasalah atau masalahnya semakin teruk apabila dia berdoa. Dalam keadaan seperti ini dia hendaklah membaca doa-doa yang dibaca seperti dijelaskan di atas dengan lebih banyak.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails